DON'T MESS WITH MELAKA

DON'T MESS WITH MELAKA
" Kita kasi gegau Melaka "

Saturday 15 November 2014

Mengkaji Keunikan Kota A Famosa Melaka

#Assalamualaikum. Kebetulan sebelum nie saya ada membuat serba sedikit kajian tentang A Famosa Melaka. Ini adalah kerana tugasan individu bagi subjek Wacana Bahasa Melayu yang perlu saya siapkan. Dan yang berikut adalah hasil yang dapat saya kongsikan bersama. Harap dapat membantu. Andai ada penambahbaikkan, sialakan tegur dan saling bertukar maklumat. Terima kasih )


1.0           Pengenalan
Melaka, sebuah negeri yang kaya dengan kesan-kesan sejarah tanah air yang penting, malah negeri ini juga pernah menjadi pusat sebuah empayar yang luas pada abad ke-15. Salah sebuah kesan sejarah yang terkenal ialah Kota A Famosa yang kini hanya tinggal pintu kotanya sahaja, iaitu di kaki Bukit St. Paul yang lebih dikenali sebagai Porta de Santiago. Menurut Mohd Yusuff Hashim (2005) “kewujudan Melaka sebagai suatu entiti politik dan kerajaan memberi pengertian sejarah yang cukup besar dan bermakna dalam persejarahan Malaysia. Malah ada sarjana di pelbagai peringkat institusi pendidikan negara yang kerap menyarankan bahawa persejarahan negara harus bermula dengan tradisi Melaka” (m.s 3). Pada tahun 1509, Portugis telah menghantar orangnya, iaitu Diago De Square ke Melaka sebagai pedagang. Disamping berdagang, beliau mengawasi setiap perkembangan yang berlaku di Melaka. Kerana kesilapannya, Diago De Square dan orang-orangnya, telah ditawan dan dipenjarakan oleh Sultan Melaka. “Pada 25 November 1510, .AlFonso De Albuquerque telah menawan Goa di India dan dari sinilah beliau telah merancang untuk menyerang Negara Islam di sebelah timur, iaitu Melaka” (IesNordin Hj Malan, 1997, 31). Selain daripada menguasai perdagangan yang diperdagangkan di Eropah, beliau juga menakluk serta menyebarkan agama Kristian. Pada 24 Ogos 1511, tentera-tentera Portugis di bawah pimpinan AlFonso De Albuquerque telah menumpaskan pahlawan-pahlawan Melaka di dalam satu peperangan yang sengit dalam masa satu bulan. Mulai dari detik itu, lenyaplah keagungan dan kemegahan Empayar Kesultanan Melayu Melaka yang tinggal hanyalah tercatat di dalam kenangan sejarah sahaja. Kota A Famosa bermaksud "Yang Termashur" dalam bahasa Portugis. A Famosa telah dibina oleh Portugis sebaik sahaja berjaya menawan Melaka pada tahun 1511. Selain itu, A Famosa terletak di Bandar Hilir, Melaka bersebelahan replika Istana Kesultanan Melaka dan Gereja St. Paul. Ia merupakan seni bina Eropah tertua yang masih tinggal di Asia. Kota A Famosa mengambil masa selama lima bulan untuk disiapkan. Pembinaan kota A Famosa ini dijalankan atas arahan Alfonso de Albuquerque, boleh dikatakan menjadi lambang penentangan penduduk Melaka masa itu. Kota A Famosa dibina bertujuan untuk dijadikan kubu pertahanan Melaka. Malahan, penjajah Portugis turut menjadikan kota A Famosa sebagai satu penempatan Kristian dengan lima gereja, tempat beribadat, biara, hospital dan sebagainya.

2.1       Asal Usul Kota A Famosa
Menurut catatan Laksamana Cheng Ho dari China yang pernah melawat Melaka pada tahun 1409, pada masa pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka, terdapat sebuah kota yang didirikan oleh Raja Parameswara. Kota ini didirikan daripada kayu yang kuat sebagai tembok dan mempunyai 4 pintu. Pada waktu malam, ia sentiasa dijaga rapi. Baginda Sultan membina kota ini bertujuan untuk dijadikan gedung simpanan barang-barang dan khazanah kerajaan di samping sebagai benteng pertahanan dari serangan musuh.
Kota ini terus diperbaiki dari semasa ke semasa oleh Raja-raja yang menggantikan baginda. Dalam peperangan yang hebat dengan Portugis pada tahun 1511, kota ini tidak dapat dihancurkan oleh musuh dan berikutan dengan itu juga, Melaka dapat ditawan oleh Portugis. Menyedari kepentingan pertahanan yang lebih kukuh di Melaka, maka Ketua Portugis di Melaka, Alfonso de Albuquerque telah mengarahkan sebuah kota didirikan.
Pada awalnya, Albuquerque bercadang untuk membina kota ini daripada kayu dan batu, tetapi kemudiannya mengarahkan supaya kota ini dibina daripada batu sepenuhnya memandangkan kemudahan bahan itu pada masa itu. Ekoran daripada itu, beliau telah mengarahkan askar-askarnya dan menggunakan 300 hingga 400 orang hamba raja yang ditawan untuk membina kota ini.

2.2       Keunikan dan Ciri-Ciri Kota A Famosa
A Famosa merupakan nama kubu yang dibina oleh orang Portugis selepas menakluk Melaka pada 1511. Sebaik sahaja mereka menawan Melaka, Portugis menggunakan buruh paksa untuk membina kubu sementara bagi menangkis serangan orang-orang Melayu, sementara mereka membina kubu utama yang digelar A Famosa, atau secara rasminya Kubu Melaka (Fortaleza de Malaca). Pembinaan Kota A Famosa ini mengambil masa selama 5 bulan untuk di bina. Akibat suhu panas terik dan kekurangan makanan, ramai buruh paksa yang mati ketika membina kota tersebut.
Kota A Famosa ini dilengkapi dengan empat menara atau ketelom (bastion), dengan tembok setebal 2.4 meter hingga 4.5 meter. Menara-menara tersebut dikenali sebagai Baluarte San Pedro, Baluerte de las Virgenes, Baluerte Madre de Dios, Baluerte Santo Domingo, dan Baluerte de Santiago. Menjelang tahun 1583, Melaka telah menjadi bandar berkota yang dilindungi dengan tujuh puluh meriam ke semua arah.
Kota A Famosa diperluaskan ke kawasan berhampiran dan meliputi penempatan Eropah. Kawasan itu termasuklah Jalan Kota, Jalan Gereja, Jalan Mahkamah dan Jalan Istana. Penjajah Portugis turut menjadikan ini satu penempatan Kristian dengan lima gereja, tempat beribadat, biara, hospital dan sebagainya.
Kota ini berbentuk hampir 4 segi, mempunyai tembok batu setinggi 3.6 meter setebal 2.4 meter di sekelilingnya. Terdapat 4 pintu masuk ke Kota ini dan pintu utamanya mengarah ke jambatan jungkit yang merentangi sungai. Selain daripada itu, kota ini juga mempunyai 8 buah menara tempat kawalan setinggi 18-24 meter dan tebal temboknya 4.5 meter. Pada bahagian bawah tempat ini terdapat tempat kediaman tentera-tentera dan kuda bagi tujuan peperangan.
Terdapat juga lorong-lorong antara tempat-tempat kawalan itu untuk kemudahan pada masa peperangan. Sementara itu, di sekeliling tembok kota juga ditempatkan 60 orang sepoi yang lengkap bersenjata. Tidak seorang pun dibenarkan masuk ke dalam kota selepas pukul 6 petang. Pada pukul 8 malam, jambatan jungkit yang merentangi sungai ditarik naik ke atas kota. Sesiapa yang berjalan di sekitar kota tanpa membawa jamong atau lampu suluh, akan ditahan oleh askar-askar yang berkawal. Begitu juga sesiapa yang tidak menyahut cabaran pengawal akan ditembak.
Tambahan, di dalam kota ini juga terdapat beberapa buah bangunan. Salah sebuah bangunannya setinggi 36.3 meter dan mempunyai empat tingkat bangunan. Ia digunakan sebagai tempat kediaman dan kawalan keselamatan di sekitar kota. Sebuah bangunan lagi setinggi lima tingkat, dan pada tingkat kedua didiami oleh Kapten orang Portugis di Melaka. Pada tingkat ini, terdapat kediaman pegawai-pegawai dan simpanan peluru-peluru, manakala pada tingkat bawah sekali adalah tempat simpanan barang-barang makanan seperti beras dan lain-lain. Namun kini, corak penempatan kota A Famosa telah pun berubah dari semasa ke semasa berikutan pembangunan ekonomi negara (rujuk lampiran).

a.             Batu Laterit
Batu Laterit merupakan sejenis batu yang biasanya terdapat di pinggiran pantai dan pulau-pulau di negeri Melaka. Pada zaman pemerintahan Portugis, batu laterit telah digunakan bagi membina kota pertahanan dan gereja milik mereka. Batu ini diperolehi dari Pulau Upeh dan pulau-pulau berdekatan seperti Pulau Jawa dan Pulau panjang. Batu ini dipotong secara manual oeleh buruh-buruh paksa semasa pemerintahan Portugis. 
Senibina bangunan yang menggunakan batu laterit dan masih kekal sehingga kini adalah Gereja St. Paul, Pintu Gerbang Santiago (A Famosa), Kota St. John dan bangunan Stadthyus. Manakala sebahagian besar rumah besar kedai di Jalan Hang Jebat (Jonker Steet) dan Jalan Tun Tan Cheng Lock (Heeren Street) pada zaman pemerintahan Belanda menggunakan batu jenis ini yang diambil daripada runtuhan bangunan zaman Portugis.
Di samping itu, hasil daripada perbualan lisan yang dijalankan bersama Latifah Abdul Latif (23 Oktober 2014) menjelaskan bahawa “putih telur ayam telah dicampurkan bersama batu karang laut yang telah dihancurkan untuk mencantumkan batu-batu tersebut dalam proses pembinaan kota A Famosa. Sumber yang berikut diperolehi daripada hasil bumi tanah Melayu itu sendiri. Tambahan, kependudukan dalam kota A Famosa hanyalah terdiri daripada orang-orang Portugis sahaja, manakala orang- orang Melayu telah diusir daripada penempatan tersebut bagi melambangkan kemegahan kota A Famosa”. 

2.3       Kuasa Penjajah
Pada tahun 1509, perdagangan ekspedisi Portugis diperintahkan oleh Diego Lopez de Sequeira tiba di Melaka, di mana mereka mahu mendapatkan kebenaran untuk menubuhkan sebuah pos perdagangan. Walau bagaimanapun salah faham dengan orang Melayu telah berlaku dan mereka diserang, tetapi melarikan diri, meninggalkan dua puluh banduan.
Pada tahun 1511, Portugis di bawah pimpinan Al'fonso de Albuquerque menyerang Melaka dan mengambil alih bandar selepas pengeboman yang berterusan. De Albuquerque menubuhkan pentadbiran Portugis dan membina kubu besar-besaran yang dikenali sebagai A Famosa. A Famosa memastikan kawalan Portugis bandar untuk 130 tahun bulan depan, sehingga pada tahun 1641, Belanda selepas pengepungan tujuh bulan dan pertempuran sengit, ia ditangkap. Dalam tempoh 150 tahun akan datang Belanda membina semula bandar dan mendudukinya sebahagian besarnya pangkalan tentera, menggunakan lokasinya yang strategik bagi mengawal Selat Melaka.
(Tanpa nama, 2004) menerangkan : Pada tahun 1795, apabila Belanda ditawan oleh tentera Revolusi Perancis, Melaka telah diserahkan kepada British oleh Belanda untuk mengelakkan penangkapan oleh Perancis. Walaupun mereka kembali bandar kepada Belanda pada tahun 1818, ia tidak lama lagi diberikan kepada British sekali lagi di bawah Perjanjian Anglo Belanda. Dari tahun 1824, Syarikat Hindia Timur Inggeris di Cacutta memerintah bandar, walaupun ia mengalami pendudukan Jepun dari 1942 hingga 1945 Setiap peraturan meninggalkan kesan di belakang untuk dipalsukan dan dicampur ke dalam campuran yang baru dan unik (m.s 9)

2.4       Fasa-Fasa Penaklukan Kota A Famosa Melaka
a.          Penaklukan Kota A Famosa oleh Belanda
Kota A Famosa telah dibina dengan begitu kukuh sehinggakan ia dapat membantu Portugis dalam menangkis semua bentuk serangan dari pihak luar. Antara langkah yang diambil dalam menakluk Melaka, pasukan Belanda telah mengepong kota tersebut selama lima bulan, sementara penduduk yang terperangkap di dalamnya terpaksa memakan kucing, tikus, dan sehinggakan terdapat satu kes yang mana seorang wanita terpaksa memakan bayinya yang telah mati.
Akhirnya, pada 14 Januari 1641, pihak Belanda menyerbu melalui Pintu Santo Domingo Gate, yang telah mengorbankan lebih 7,000 orang akibat daripada tembakan senjata api. Manakala, kota A Famosa yang rosak teruk dalam pertempuran tersebut telah diperbaiki sementara Porta de Santiago yang merupakan pintu utamanya digantikan dengan logo Syarikat Hindia Timur Belanda. Selepas menawan kota tersebut, pihak Belanda telah membaiki dan mengubah suai, serta meletakkan jata mereka di atas pintu pagar yang masih kekal sehingga kini pada Porta de Santiago, iaitu satu-satunya pintu yang terselamat, dengan ukiran "Anno 1670".
b.        Pentadbiran oleh British
Apabila tentera Napoleon menjajah Belanda (Holland) pada tahun 1795, Putera William of Orange melarikan diri ke London, dimana beliau memerintah semua penempatan Belanda untuk menerima tentera British, bagi menghalang mereka dari jatuh ke tangan Perancis. Akibatnya, pihak British berjaya menguasai semula Melaka pada tahun 1795 tanpa sebarang pertempuran.
Selepas menguasai Melaka, pihak British tidak lagi berminat untuk menyimpan, ataupun membiayai penempatan tentera bagi mempertahankan Melaka yang dianggap milik sementara dan perlu dipulangkan kepada pihak Belanda selepas perang. Sebaliknya pihak British telah meninggalkan kota kukuh itu tanpa pertahanan yang mencukupi akan mengundang padah kepada mereka sekiranya ia ditawan oleh pihak musuh.
Tambahan lagi, mereka tidak berminat bagi memulangkan Melaka ke tangan Belanda dengan kota A Famosa dalam keadaan utuh sebagai saingan kepada penempatan Inggeris di Pulau Pinang dan Singapura. Oleh hal yang demikian, Mr. Robert Farquhar iaitu Leftenan Gabenor Pulau Pinang dan juga Gabenor Melaka antara 1803 hingga 1818, telah membuat cadangan bagi memusnahkan kota A Famosa.
Beliau menyatakan bahawa penyelenggaraan dan pertahanan kubu tersebut hendaklah dikecilkan dengan dua sebab utama, iaitu hasil yang diperolehi oleh Melaka tidak mampu membantu membiayai kos penempatan tentera sepoi dan pengecilan itu akan dapat membantu memajukan Pulau Pinang dengan memindahkan penduduk Melaka ke Pulau Pinang.
Maka pada awal 1804, beliau dengan tegas mencadangkan agar Melaka dihapuskan dari muka bumi dengan semua penduduk Melaka diarah supaya dipindahkan ke Pulau Pinang dan Kota Famosa dimusnahkan bagi mengelak ia dikuasai oleh pihak lawan. Dengan cadangan tersebut, kerajaan Inggeris di India mengarahkan Kota A Famosa yang terletak di Bandar Hilir, Melaka dihancurkan.
Kerja merobohkan Kota A Famosa bermula pada 10 Ogos 1807. Pada awalnya beliau memerintahkan pesalah supaya merobohkan Kota A Famosa batu demi batu dengan menggunakan pemungkis dan besi penyungkil. Apabila tembok yang sesetengahnya mencecah 4.5 meter kelihatan terlalu kukuh untuk ditanggalkan, dia memutuskan bagi memusnahkan Kota A Famosa dengan menggunakan ubat bedil. Dia memerintah lubang digali di sekeliling kaki kota dan meletupkan Kota A Famosa, menyebabkan batu sebesar rumah berterbangan dan jatuh ke laut.
Hampir kesemua kubu, tembok-tembok, Hospital Besar, dua tempat menyimpan beras, tempat kediaman dan enam bilik simpanan telah diletup dan diratakan. Semasa kerja-kerja pemusnahan berlaku dengan rancaknya, Sir Stamford Raffles, seorang kakitangan kerajaan yang bercuti sakit telah datang ke Melaka atas jemputan William Farquhar telah mengetahui mengenai perobohan Kota A Famosa, lalu beliau menulis surat kepada Kerajaan Inggeris di Pulau Pinang dan India dengan menyatakan bahawa pemusnahan Kota Famosa tidak patut dilakukan.
Beliau telah memberikan sebab-sebab tertentu. Pertamanya, jika Inggeris membiarkan Melaka, pihak lain akan mendudukinya, sudah pasti ia akan merugikan Pulau Pinang, dan keduanya, Melaka itu sendiri mempunyai nilai sejarah dan mentadbirnya tidak memerlukan perbelanjaan yang banyak, manakala yang ketiga penduduk-penduduk Melaka tidak perlu dipindahkan kerana sebelum Belanda meninggalkan Melaka, Inggeris telah pun memerintahkan penduduk Melaka supaya terus tinggal di situ.
Tambahan, beliau turut menyatakan bahawa Inggeris tidak perlu meninggalkan Melaka hanya kecuali dipaksa. Cadangan Raffles itu telah diterima dengan baik oleh Kerajaan Inggeris tetapi ia sudah terlambat kerana hampir seluruh kota tersebut telah musnah.
Pemusnahan Kota A Famosa dalam tahun 1807, telah memusnahkan hampir seluruh kota itu, dan hanya meninggalkan satu pintu kotanya yang dapat dilihat hingga hari ini, iaitu Porta de Santiago. Pihak British kekal di Melaka sehingga tahun 1818. Apabila berakhirnya peperangan Napoleon, Melaka dikembalikan ke tangan Belanda (tanpa Kota A Famosa). Melaka kekal di tangan Belanda selama tujuh tahun berikutnya, sehinggalah perjanjian London 1824, apabila mereka menukarkan Melaka dengan Bangkahulu (Bencoolen) di Sumatera.

2.5       Kepentingan dalam Memulihara Bangunan Bersejarah seperti Kota A Famosa Melaka
Umumnya, bangunan bersejarah dan monumen lama dapat memberikan teladan serta iktibar kepada masyarakat terutama golongan remaja. Kita sedia maklum bahawa remaja pada hari ini kurang mempunyai kesedaran diri berkaitan dengan sejarah Malaysia apatah lagi semangat patriotisma dalam diri.
Dengan adanya bangunan bersejarah di negara, kita dapat menjadikan ia sebagai salah satu cara untuk memupuk semangat patriotisma dalam kalangan generasi muda. Seterusnya mereka dapat menjadikannya sebagai panduan hidup. Oleh itu, bangunan bersejarah perlu dikekalkan untuk menjadi tatapan serta penghayatan oleh generasi muda dan generasi akan datang. Hal ini kerana bangunan bersejarah amat vital dalam pembentukan minda generasi muda terutamanya ke arah penghayatan warisan dan khazanah negara.
Di samping itu juga, bangunan dan monumen yang bersejarah merupakan aset yang patut dipelihara dan diwarisi. Bangunan bersejarah dapat memangkin jiwa generasi muda agar lebih menghargai dan peka akan perkembangan sejarah negara. Tinggalan sejarah ini dapat mengingatkan  generasi muda tentang segala pahit maung yang dilalui oleh pejuang nasionalis ketika memerdekakan tanah air.
Peribahasa Melayu mengatakan “biar putih tulang jangan putih mata” sentiasa tersemat di dalam hati para pejuang negara ketika itu. Secara tidak langsung, hal ini dapat mencelikkan minda generasi muda agar  sentiasa berwaspada terhadap musuh negara yang sentiasa mencari peluang untuk menjajah negara kita sekali gus berjuang bermati-matian untuk ibu pertiwi daripada dicerobohi oleh kuasa asing.
Kota A Famosa di Melaka merupakan sebuah kubu pertahanan yang kukuh telah dibina oleh Portugis setelah mereka berjaya menakluki Melaka dapat dijadikan iktibar. Penaklukan ini terjadi kerana terdapatnya masalah perpaduan, kelemahan kepimpinan dan juga kelemahan tentera yang mengawal Melaka. Selain itu, bangunan bersejarah dan monumen lama juga turut memainkan peranan yang penting dalam pendidikan di negara  kita khususnya kepada para pelajar dan penyelidik.
Kita sedia maklum bahawa pelbagai ilmu akan dapat dipelajari dengan memahami dan mengkaji bangunan dan monumen lama. Jika kita menghayati sejarah, di sebalik bangunan tersebut serta mengambil pengajaran daripada peristiwa yang berlaku maka kita dapat terus mara tanpa mengulangi kesilapan yang dilakukan oleh masyarakat terdahulu. Walaupun ada antara bangunan bersejarah yang hanya menggambarkan sejarah hitam negara, namun kita tidak harus menjadikannya sebagai halangan untuk mencapai kejayaan.
Hal demikian kerana negara kita juga mampu menjadi sebuah negara yang setaraf dengan negara-negara maju yang lain sekiranya kita tidak mengambil mudah dan mengambil ikhtibar daripada sejarah silam negara.  kerana yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.

3.0       Penutup
A Famosa (Porta de Santiago). Struktur ini adalah salah satu daripada empat pintu utama kubu Portugis yang terkenal. Dibina oleh Alfonso de Albuquerque pada tahun 1512, iaitu setahun selepas Portugis menyerang Melaka. Mereka menggunakan bahan-bahan dari runtuhan Istana Melaka, kubu, makam orang Islam, masjid, pelabuhan Melaka dan sebagainya dalam pembinaan kota A Famosa. Portugis hanya mengambil masa satu tahun untuk membina banteng kubu tersebut. A Famosa dibina atas tujuan untuk memagari serangan daripada Sultan Mahmud, iaitu dari Empayar Kesultanan Melaka dan serangan berterusan daripada kerajaan Acheh serta Johor.
Secara umumnya, kota A Famosa ini telah memberikan gambaran yang jelas tentang bagaimana ia mula dibina hingga ia dirobohkan. Terbukti bahawa kota A Famosa merupakan sebuah kubu yang dibina sekukuhnya dimana hasil tinggalan bangunan bersejarah dan monumen yang boleh kita lihat masih berdiri utuh dan menjadi daya tarikan pelancong luar untuk datang melihat dengan mata kepala sendiri tentang kemegahan kota A Famosa ini. Namun, sayangnya pembinaan kota A Famosa yang teguh ini oleh bangsa Melayu terpaksa dibayar dengan harga kehilangan maruah dan harga diri yang tidak dapat diganti seumur hidup hingga ke hari ini.
            Ringkasannya, sebagai rakyat Malaysia kita hendaklah sentiasa bersyukur dengan kehidupan yang kita ada sekarang hasil daripada pejuang-pejuang pahlawan Melayu dahulu yang telah berjuang bermatian demi mempertahankan tanah air tercinta ini. Di samping itu, kita hendaklah sentiasa menyematkan semangat patriotisma dalam diri agar kita tidak lupa asal usul bangsa dan negara kita. Akhir kata daripada saya, bersamalah kita memulihara bangunan-bangunan bersejarah dan monumen sejarah untuk peringatan generasi akan datang.

4.0       Rujukan
Bonny Wee. (2009). Malacca: A World Heritage Site, Percetakan Surya Sdn. Bhd.Production & PR Consultants (M) Sdn. Bhd.
IesNordin Hj Malan. (1997). Tapak-Tapak Sejarah dan Bangunan-Bangunan
Lama Di Negeri Melaka. Antikuiti Wilayah Selatan. Jabatan Muzium &
Antikuiti Komplek Istana, Jalan Kota Melaka.
Latifah Abdul Latif. (2014,Oktober,23). Perbualan Lisan
Mohd Yusoff Hashim. (2005). Parameswara Pengasas Empayar Melaka. Unique Communications Sdn. Bhd. Institusi Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) GRAHA IKSEP.
Pelan Tindakan Kawasan Pemeliharaan Majlis Perbandaran Melaka Bandaraya Bersejarah. Biro Inovasi dan Perundingan Universiti Teknologi Malaysia.
Visit Historic Melaka Means Visit Malaysia. (2004). Tourism Promotion Division Melaka Chief Minister’s Department.

LAMPIRAN


Bahagian hadapan yang digelar Porta De Santiago dan dikelilingi dengan meriam disetiap sudut



Bahagian hadapan yang digelar Porta De Santiago dan dikelilingi dengan meriam disetiap sudut
         


     A Famosa diiktiraf warisan kebangsaan negara 


  Pintu masuk Porta De Santiago yang menjadi daya tarikan pelancong untuk bergambar


 Pandangan hadapan pintu masuk Porta De Santiago


Pandangan daripada belakang pintu masuk Porta De Santiago



Bahagian dalam kubu kota A Famosa yang berada di Bukit St Paul


Bahagian dalam kubu kota A Famosa yang berada di Bukit St Paul


Bahagian tepi kubu kota A Famosa yang berada di Bukit St Paul


Sumber daripada Pelan Tindakan Kawasan Pemeliharaan, Majlis Perbandaran Melaka Bandaraya Sejarah



Sumber daripada Pelan Tindakan Kawasan Pemeliharaan, Majlis Perbandaran Melaka Bandaraya Sejarah


7 comments:

  1. Kota A Famosa salah satu tarikan utama pengunjung yg dtg ke Melaka. Sekiranya anda perlukan homestay yg dkt dgn tmpt2 tersebut sila kunjungi kami di http://myhomestaykg8.blogspot.com

    ReplyDelete
  2. tq...its very usefull for me to get the extra explanation about a famosa......thanks a lot

    ReplyDelete
  3. I agree with Gunaseelan Sanmugam, the extra informations helps a lot. This blog is very good.I will give it a thumbs up. :)

    ReplyDelete
  4. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete